Posted by : Persatuan Penuntut Malaysia Amman Friday, October 14, 2011

Assalamualaikum wbt.

Bayt Wafa, Amman (24 Julai 2011) - Alhamdulillah, segala pujian bagi Allah S.W.T yang telah mengizinkan kita untuk mengadakan sebuah program mengingati serta mengibrah peristiwa besar Israk & Mi’raj. Program diadakan bertujuan untuk memberi ibrah & istifadah amali sebelum para ahli melangkah ke pintu Ramadhan.

Kehadiran cukup memberangsangkan iaitu seramai hampir 50 orang ahli. Majlis telah dimulakan dengan ucapan aluan pengerusi majlis, Arif Amin bin Rushihi. Lalu diserikan lagi dengan alunan ayat suci al-quran oleh adik Nawawi bin Mohd. Seterusnya majlis diteruskan dengan slot forum “Penitian Sebuah Perjalanan” yang bermoderatorkan al-Fadhil ustaz Mustafa Shamsuddin. Ahli panel pertama ialah Ustaz Mohd Nasir Abd Majid, manakala ahli panel kedua ialah Ustaz Anhar Opir.

Peristiwa besar Israk & Mi’raj merupakan sebuah peristiwa yang menguji keimanan seorang muslim. Namun, permulaan surah al-isra’ dengan kalimah سبحان mematahkan mana-mana hati yang berasa ragu dengan peristiwa tersebut. “Maha Suci Allah” yang dengan kebesaran dan keagungannya, peristiwa sedemikian bukanlah suatu yang mustahil untuk berlaku. Bahkan yang lebih besar dari itu juga tidak boleh diragui oleh seorang yang mengaku beriman dengan Allah S.W.T. Umat Islam wajib mempercayai bahawa Rasulullah telah dijemput menjadi tetamu Allah pada malam yang mulia itu dengan roh dan jasadnya sekali, sekalipun hal tersebut kelihatan melangkaui pemikiran.

Salah satu kejadian sepanjang peristiwa ini ialah Nabi S.A.W tercium bau wangi kuburan Masyitah. Ceritanya, ketika Masyitah mengikat rambut anak Fir’aun, sikat rambut tersebut jatuh lalu Masyitah menyebut “Bismillah”. Maka bertanyalah anak Fir’aun “Apakah ada tuhan selain bapanya?”. Masyitah menjawab “Tuhanmu dan tuhan bapa kamu ialah Allah”. Anak Fir’aun memberitahu bapanya akan hal ini lalu Masyitah diugut untuk kembali ke agama asal. Namun, Masyitah enggan dan tetap teguh pendirian. Justeru itu, Fir’aun mencampakkan seorang demi seorang anak Masyitah ke dalam air yang mendidih sehingga tiba giliran anaknya yang masih menyusu. Masyitah cuba melengahkan hal itu dek perasaan kesian terhadap anaknya itu, sejurus itu, dengan kuasa Allah, bayi tersebut telah berbicara “Wahai ibuku, sesungguhnya azab akhirat itu lebih pedih dari azab dunia, usahlah ibu menjauhkan diri kerana ibu di pihak yang benar”………

Dua point tersebut merupakan antara yang dikupas oleh kedua-dua ahli panel kita. Banyak lagi ibrah lain yang tidak mampu dicatat di sini dek ruang yang tidak mengizinkan.

Majlis ditangguh untuk memberi ruang pada ahli solat maghrib. Tepat jam 8.30 malam, Majlis Lambaian Wida yang dipengerusikan oleh Muhammad bin Sidek pula mengambil tempat. Setelah selesai ucapan Presiden PPMA, majlis diteruskan dengan ucapan oleh yang dirai iaitu Ustazah Norul Jannah Mohd Nor yang merupakan mantan timb. Ketua Biro Tarbiyah & Akademik PPMA sesi 2010/2011. Beliau berharap agar ukhuwah yang dijalin di bumi Jordan ini akan terus berkekalan seterusnya saling bergerak menegakkan Islam di negara tercinta suatu masa nanti.

Selesai ucapan tersebut, Lajnah Media & Hebahan menayangkan sebuah tayangan video yang memaparkan aktiviti-akiviti al-Ukht bersama PPMA. Majlis ditamatkan dengan slot pemberian cenderahati kenangan serta pemotongan kek wida’ yang dibeli khas oleh pihak akhawat PPMA. Progarm ini selesai tepat jam 9.30 malam. Biarpun sedikit terlewat, para ahli dilihat gembira dan berpuas hati dengan program yang dijalankan.
Jutaan terima kasih diucapkan pada semua AJK yang bertungkus-lumus dalam menjayakan program ini. Hanya Allah sahaja yang mampu membalasnya.

Leave a Reply

Subscribe to Posts | Subscribe to Comments

- Copyright © PPMA - Date A Live - Powered by Blogger - Designed by Johanes Djogan -